Powered By Blogger

Selamat datang ke Taman Perkongsian Bicara

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Selamat berkunjung ke Blog saya ini. Sesungguhnya masyarakat Islam yang hakiki akan dapat dibina dengan pembinaan kesedaran Islam yang sebenar, penyebaran kefahaman yang soheh yang dapat membuahkan amal yang benar. Kefahaman Islam sebenar ini haruslah bersumberkan sumber-sumber yang muktabar, bersih dari sebarang kefahaman yang tersisih dari hakikat Islam sebenar yang dikehendaki oleh Allah Rabbul alamin. Justeru.. blog ini sedikit sebanyak ingin menyumbang kepada usaha ini.. Mendidik membina masyarakat dengan kefahaman yang benar.. Apa yang penting adalah kebenaran.

Sunday, October 11, 2009

Rumah Terbuka: Antara Silaturrahim dan Ketaatan


Penulis mendapat banyak sekali jemputan ber"hari raya" dan be"rumah terbuka" terutamanya di hari-hari minggu di bulan Syawal ini. Almaklumlah, kita menyambut raya selama sebulan penuh walaupun ada dikalangan kita puasa tak penuh. Apa-apa pun ia merupakah satu yang baik dalam mengeratkan tali ukhuwah dan persaudaraan sesama kita.

Alhamdulillah, melalui program-program "rumah terbuka", "opis terbuka", "dewan terbuka" seperti ini kita, sanak saudara mula berkumpul, ziarah menziarahi mula dilaksanakan, dan jiran-jiran mula berkenalan antara satu sama lain. Adat seperti ini perlu diamalkan di Malaysia, kerana di Malaysia ini orang yang tinggal di kawasan bandar balik bercuti di kampung, adakalanya sampai seminggu lebih "cuti raya" campur sekali dengan "cuti-cuti Malaysia", kalau beraya sekejap sahaja kemudian habis, bila sampai semula ke tempat tinggalnya di bandar, jiran-jiran sudah tidak dikenali. Maka bagus juga konsep "berhari raya sehari tetapi beraya sebulan" ini.

Itu tidaklah menjadi persoalan, kerana ia merupakan adat yang tidak bertentangan dengan hukum agama, namun apa yang penulis perhatikan, ketika berkunjung ke rumah-rumah terbuka, adakalanya penulis merasa sedih melihat tingkah laku dan pakaian orang yang "beraya" ini. Solekan yang melampau serta aurat yang tidak ditutup, adakah ini merupakan natijah dari sebulan Ramadan yang diisi dengan amal ibadah serta taubat, dan adakalanya tangisan keinsafan? Adakah ini refleksi taqwa dari Ramadan atau ia merupakan refleksi syaitan-syaitan yang dilepaskan selepas sebulan terbelenggu di bulan Ramadan lalu. Maaf jika kata-kata penulis agak kasar, namun penulis merasakan hari raya yang disambut penuh kesyukuran tidak patut disambut secara sedemikian.

Oleh kerana itu, marilah kita mengisi Hari Raya dengan taqwa, mengisi nya sebagai hamba. Kita semarakkan ukuwah, kita eratkan tali kekeluargaan, dan kita hindarkan perbuatan yang memberikan keburukan kepada diri kita sendiri..... permissi...

Saturday, October 10, 2009

Aku Ingin Belajar

Semakin banyak yang kita belajar, rupanya semakin banyak yang kita tak tahu. Sebenarnya, dunia ini adalah medan untuk kita belajar. Belajar dan terus belajar. Yang paling utama, kita belajar untuk memahami, mengapa kita berada di atas bumi  ini, dan mengapa Allah SWT letakkan kita di kondisi yang kita berada sekarang ini.

Adakalanya penulis merasakan ada hari yang kita lupa, dan terlalai untuk belajar. Dan hari itu adalah hari yang penuh dengan kekosongan kerana kita tidak mengisinya dengan sesuatu yang bermakna dalam hidup kita. alangkah baiknya, sekiranya dalam satu hari, ada benda yang dipelajari, maka secara tidak sedar, kita telah menaikkan darjat diri kita, dan meluputkan satu kejahilan yang ada di dalam jiwa kita. Ia adalah satu kebaikkan, dan kalau kita melaksanakan satu kebaikkan, ia untuk diri kita sendiri.

Teringat penulis kepada pesanan guru yang pernah masuk ke corong telinga ini satu ketika dahulu, ilmu itu tak kan masuk ke dalam diri orang-orang yang sombong, Ya.. memang benar, kesombongan inilah yang menghalang kita dari belajar, kita ego, menganggap diri kita sempurna dengan ilmu yang cukup sedikit ini, lantas menghalang kita untuk mengakui bahawa kita masih lemah dan jahil, sehinggalah diberikan satu tugasan dan kita terkial-kial membuatnya, tetapi apakah ini mampu menyedarkan diri kita bahawa kita masih perlu belajar...?

Aku mesti belajar, supaya apa yang aku pelajari, menjadikan aku orang yang berguna, yang boleh memberikan manfaat kepada orang lain, yang lebih penting, aku boleh memberikan maanfaat kepada Islam, aku mesti belajar, belajar apa sahaja yang aku belum tahu, walau sekecil mana perkara itu, walau  orang melihat aku bodoh, kerana memang aku tidak tahu, kerana selepas belajar itu aku akan tahu...

Friday, March 20, 2009

AKIBAT DARI MAKSIAT

Assalamualaikum…..Pembaca yang dihormati.
Maksiat ialah lawan kepada taat. Kedua-duanya, hanya Allah swt yang tahu. Maksiat ada kesannya, taat pun ada kesannya tersendiri. Ketaatan menjadi suatu yang manis bagi si Mukmin, manakala maksiat adalah suatu kelazatan bagi mereka yang engkar. Sesungguhnya maksiat dan pengaruhnya sangat membahayakan insan di dunia dan akhirat. Mukmin, sentiasa berhati-hati dalam kehidupan hariannya agar tidak terperangkap dalam kemaksiatan. Walaupun hanya Allah swt yang tahu semua tindakan ketaatan dan juga kemaksiatan insan, kesan dan pengaruhnya dapat dilihat semasa hidup di dunia.
Akibat Maksiat
1. Tidak Mendapat Ilmu
2. Tidak Mendapat Rezeki
3. Kerisauan dan Kesepian Hati
4. Banyak Mendapat Kesulitan
5. Kegelapan di dalam hati
6. Melemahkan Hati dan Badan
7. Kehilangan ketaatan
8. Mengurangi umur dan mengikis berkah 1. Tidak Mendapatkan Ilmu
Ilmu adalah sinar yang diletakkan Allah swt ke dalam hati. Sedangkan maksiat memadamkan sinar tersebut. Pernah Imam Malik menasihatkan Imam Syafie yang belajar dengarnya, "Saya melihat Allah swt telah meletakkan sinar dalam hatimu. Jangan engkau padamkan dengan kegelapan maksiat." Imam Syafie juga pernah mengeluh, "Saya mengeluh kepada Waki', hafalanku jelek; lantas dia menasihatiku untuk meninggalkan maksiat." Sambung Waki', "Ketahuilah bahawa ilmu itu anugerah, dan Allah swt tidak berikan kepada pelaku maksiat."
2. Tidak Mendapatkan Rezeki
Dalam Musnad Imam Ahmad, "Sesungguhnya seorang hamba tidak mendapatkan rezeki kerana dosa yang diperbuat." Sememangnya jelas bahawa taqwa kepada Allah swt itu mendapatkan rezeki, sedangkan meninggalkan taqwa mendatangkan kefakiran dan kemiskinan.
3. Kerisauan dan Kesepian di Hati
Antara hati seorang insan pelaku maksiat dengan Allah swt, tidak ada keseimbangan dan keterkaitan yang dirasai sebagai kenikmatan, malahan yang terbit dari hatinya hanyalah kegelisahan dan kesepian. Sekiranya kenikmatan dunia seisinya diberikan kepadanya, tidak akan mampu mengimbangi keresahan tersebut. Tidak ada yang lebih pahit dalam hati insan daripada kerisauan kerana kesepian atau keterasingan antara dirinya dengan orang lain, lebih-lebih lagi dari orang-orang yang sebelumnya baik dengannya. Bilamana perasaan keterasingan itu menjadi kuat, maka dia akan menjauhkan dirinya dari lingkungan orang-orang tadi. Akhirnya, jika hati yang terasa terasing itu banyak melakukan maksiat, dia akan mendekati kelompok syaitan, dan jauh dari kelompok yang dekat dengan Allah swt. Kesan seterusnya, perasaan keterasingan itu akan menguasai dirinya dan dia akan mula terasa terasing dari keluarganya serta anak-anaknya, dan ini akan terus menambahkan kerisauan dan tertekan dalam dirinya.
4. Banyak mendapat kesulitan
Orang yang tidak bertaqwa akan mendapat kesukaran dalam berbagai urusannya. Kehidupannya banyak menemui kesulitan, jalan buntu dan jalan penyelesaian yang serba sulit.
5. Kegelapan dalam hatinya
Kegelapan dalam hatinya akan sungguh-sungguh ia rasakan seperti gelap pekatnya malam. Bila ia diberi petunjuk, maka kegelapan maksiatnya itu masuk menutupi hatinya. Berkata Abdullah bin Abbas, "Sesungguhnya pada kebaikan itu ada cahaya pada wajah, sinar pada hati, kelapangan pada rezeki dan kekuatan pada badan serta kecintaan di hati ramai orang terhadap dirinya. Adapun pada perbuatan buruk terdapat warna hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan rasa benci kepadanya di hati ramai orang."
6. Melemahkan hati dan badan
Orang Mukmin itu kekuatannya terletak pada hati. Bilamana hatinya kuat, badannya pun menjadi kuat. Sedangkan orang yang jahat dan penuh dengan maksiat, walaupun badannya kuat, namun hatinya paling lemah. Bayangkan, kekuatan badan orang-orang Persia dan Romawi dapat dihancurkan oleh orang-orang Mukmin dengan kekuatan hati yang kuat imannya kepada Allah swt.
7. Kehilangan ketaatan
Tidak ada hukuman bagi suatu dosa, kecuali hukuman itu adalah terhalangnya seseorang dari ketaatan terhadap Allah swt. Juga akan terputuslah jalan-jalan kebaikan yang lainnya, sedangkan ketaatan itu lebih baik daripada dunia seisinya.
8. Mengurangi umur dan mengikis berkat.
Sebahagian ulama mengatakan, bahawa kurangnya umur orang yang suka melakukan maksiat ialah kerana hilangnya berkah umurnya. Hidup ini sebenarnya adalah kehidupan hati. Umur manusia selama waktu-waktu hidupnya sentiasa bersama Allah swt, itulah yang merupakan waktu-waktu umurnya. Bila hidupnya berpaling dari Allah swt dan sibuk dalam kemaksiatan, akan hilanglah hari-hari hidupnya yang hakiki. Sehingga pada akhirnya orang itu akan berkata: يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي
"Aduhai, sekiranya dulu saya berbuat untuk hidupku sekarang ini."(Al-Fajr:24). Oleh kerana itu, berhati-hati lah terhadap maksiat, kerana ia akan memberikan akibat yang buruk dalam kehidupan semua...........
Jumpa lagi……. :)
[Rujukan: Ibn Qoyyim, "Terapi Penyakit Hati"